Thursday, September 20, 2012

TERUSKAN MAJLIS MEMBACA YAASIN, BERZIKIR, SOLAT HAJAT DAN BERDOA



KENYATAAN MEDIA

Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM)
dan Majlis Gerakan NGO Islam ASEAN


‘TERUSKAN MAJLIS MEMBACA YAASIN, BERZIKIR, SOLAT HAJAT DAN BERDOA’

Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) dan Majlis Gerakan NGO Islam ASEAN
mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi terima kasih  kepada imam dan jamaah masjid serta surau serta persatuan di seluruh negara yang semalam telah mengadakan ikhtiar membaca Yaasin, berzikir, solat hajat dan berdoa memohon kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia dan supaya Allah SWT bukakan hati-hati umat Islam untuk bersatu dan berpadu sentiasa dalam menghadapi cabaran dari musuh-musuh Islam yang sentiasa mencari jalan menghina dan mengganggu gugat umat Islam. 

Kami yakin ikhtiar dan doa yang kita semua panjatkan kehadrat Allah SWT akan dimakbulkan dan kita semua mendapat rahmat kesejahteraan kehidupan di dunia dan di akhirat .  Dipelihara oleh Allah SWT jua kesucian agama Islam, keamanan serta kemakmuran negara kita Malaysia dan dunia umumnya. 

Berkaitan dengan perkara yang sama,  kami sekali lagi menyeru kepada masjid dan surau yang belum mengadakan ikhtiar ini supaya bersatu mengadakannya.  Kepada yang berkemampuan tajalah makanan dan minuman untuk jamaah yang hadir.  Seeloknya, jadikanlah ikhtiar dan amal membaca Yaasin, berzikir  solat hajat dan berdoa tersebut sebagai aktiviti mingguan setiap masjid dan surau serta rumah.  Jangan takut dengan sindiran bahawa doa-doa tidak diperkenankan oleh Allah SWT ataupun menerima pandangan bahawa doa-doa sahaja tidak mencukupi dalam kita menangkis penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan Islam oleh filem anti-Islam ‘Innocence of Muslims’ dan pelbagai serangan negatif terhadap umat Islam dan agama Islam termasuklah apa yang dikatakan sebagai LGBT, seksualiti merdeka, penagihan dadad, individu anti-Islam, kartun menghina dan ‘Islam Liberal’ yang sangat merbahaya kepada umat Islam. 

Yakinlah bahawa doa itu adalah salah satu ‘senjata mukmin’ yang dijanjikan Allah. Sebuah hadis Rasulullah SAW riwayat Anas bin Malik menjelaskan perkara ini, ‘telah berkata Jibrail A.S.  “Wahai Tuhanku, Engkau sampaikanlah hajat-hajat hambaMu itu”.  Lalu Allah menjawab, “Biarkan hamba-hambaKu itu, kerana aku mencintai rintihan suaranya.”   Oleh itu, lebih ramai yang merintih dan memohon doa tentu hasilnya akan lebih positif kerana tentunya ada orang-orang ataupun kanak-kanak yang doanya lebih selalu dikhabulkan Allah S.W.T. kerana keikhlasan dan kemuliaan niat hati serta Allah mencintai rintihan suara mereka.

Kami juga ingin mengucapkan syabas dan berhati-hatilah kepada umat Islam yang berkemampuan untuk menzahirkan tentangan terhadap filem anti-Islam melalui demonstrasi aman ditempat-tempat terpilih. Bersederhanalah dan tepat dalam tindak supaya tidak tercemar nama baik serta harta benda awam dan persendirian termasuk perniagaan yang sedia ada. Moga-moga usaha kolektif kita semua mendapat rahmat Allah SWT, berjaya kita mempertahan agama Islam, tanahair, bangsa, keluarga dan kesejahteraan seluruh warga Malaysia.


Sekian, terima kasih.


Kenyataan Oleh:

Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM)
Bertarikh:  21hb September 2012

Setiausaha :  Mohd Shamsuddin Damin   (Tel:  019-237 7887)

No comments:

Post a Comment