Friday, September 28, 2012

SOKONG DASAR MEMBUDAYA INOVASI, MENINGKAT PRODUKTIVITI SEBAGAI SUMBER KEKAYAAN BARU NEGARA”



KENYATAAN MEDIA

Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM)

“SOKONG DASAR MEMBUDAYA INOVASI, MENINGKAT PRODUKTIVITI SEBAGAI SUMBER KEKAYAAN BARU NEGARA”

Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM)  menyokong penuh usaha YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang meletakkan ‘inovasi’ sebagai salah satu mekanisma dalam agenda transformasi pembangunan negara dalam Rancangan Malaysia Ke-10.  Langkah strategik dasar jangka panjang pembangunan inovasi ini meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara maju dalam konteks menggalakkan pembinaan kekayaan baru melalui kejayaan inovasi dan keusahawanan.

Kami berterima kasih YAB Perdana Menteri memperuntukkan bajet yang positif dalam Belanjawan 2013 yang dibentangkannya semalam bagi melaksanakan pelbagai program berkaitan dengan pembangunan inovasi rakyat dan negara.  Kejayaan inovasi rakyat dan organisasi Malaysia dalam pelbagai bidang akan meningkatkan lagi ketinggian keilmuan dan kemampanan ekonomi negara.

Selari dengan hasrat dan visi YAB Perdana Menteri serta kerajaan untuk merancakkan kegiatan inovasi, peningkatan produktiviti dan keusahawanan, IKIAM akan mengadakan SEMINAR TRANSFORMASI GRADUAN JURUSAN AGAMA – PERNIAGAAN DAN KEUSAHAWANAN SEBAGAI KERJAYA DAN IBADAH SERTA PERLANCARAN DANA AT-TIJARAH pada 17hb November 2012 ini  bagi menggerak, membantu dan membimbing graduan jurusan agama yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan, perniagaan dan inovasi secara tersusun dalam bidang-bidang berpotensi dan dengan motivasi, latihan, sokongan rangkaian rakan usahawan yang telah berjaya, masyarakat pengguna dalam serta luar negara serta agensi Agensi Inovasi Malaysia.  Dana At-Tijarah ini pula sebahagiannya akan digerakkan sebagai ‘inisiatif sokongan pra-modal teroka’ bagi pengkomersilan inovasi para peserta, usahawan atau inovator baru yang terlibat.

IKIAM yakin para graduan pengajian Islam juga akan dapat berinovasi dan meningkatkan nilai tambah diri serta ekonomi perniagaan mereka dengan penerapan integrasi modul motivasi, latihan kemahiran, ilmu perniagaan dan mekanisma berinovasi yang sesuai dengan perniagaan yang ingin diceburi secara jangka panjang dan berterusan. Mungkin pada awalnya ‘inovasi yang usahawan Muslim hasilkan bernilai rendah dan sukar untuk dikomersilkan’ kerana kekangan modal dan sokongan pengguna, namun pada jangka masa panjang inovasi tersebut boleh menjadi platform




kepada peluang perkembangan industri serta sumber kekayaan baru negara.    Mereka tidak harus ditinggalkan dari perkembangan arus perdana transformasi agenda pembangunan ekonomi negara.   Ringkasnya, inovasi boleh menjadi pemangkin kemajuan keusahawanan, perniagaan, sumber pembinaan kekayaan baru dan ekonomi umat Islam.

Kami berpandangan impak kejayaan inovasi sebagai mekanisma transformasi pembinaan kekayaan baru umat Islam adalah setara dengan impak positif yang lahir dari integrasi pendidikan negara, perbankan Islam, Takaful serta dasar Malaysia sebagai Pusat Halal dunia yang memberi manfaat besar kepada umat Islam Malaysia serta dunia amnya. Inovasi dalam konteks ‘pengeluaran dan pengeksportan makan halalan toiyibah’ oleh usahawan Muslim boleh menjana pendapatan ekonomi bernilai tambah tinggi jutaan ringgit akan menjadi fokus program berterusan ini. 

IKIAM juga akan berusaha membantu para inovator Muslim yang berminat untuk menjalin kerjasama strategik dengan para inovator bukan Muslim dari dalam dan luar negara kearah menerokai inovasi  di bidang baru yang berpotensi tinggi melalui program rundingcara pembangunan perniagaan dan perkongsian inovasi serta pengkomersilan.

Akhirnya, terima kasih kepada YAB Perdana Menteri dan kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap pembangunan umat dan syariat Islam di negara ini. InsyaAllah, dasar pro- inovasi ini akan membawa manfaat besar serta kejayaan kepada beberapa inovator Muslim dan bukan Muslim Malaysia sebagai pemimpin dan pemilik paten harta intelek inovasi bertaraf nasional dan dunia dalam beberapa tahun akan datang.



Sekian, terima kasih.


Kenyataan Oleh:

Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM)
Bertarikh:  29hb September 2012

Setiausaha :  Mohd Shamsuddin Damin   (Tel:  019-237 7887)

Mohd Shamsuddin Damin adalah seorang Perunding Perniagaan dan pengarang buku motivasi bertajuk ‘Muslim Mesti Jadi Inovator’.  Buku beliau itu sewajarnya (‘wajib’) menjadi bacaan setiap umat Islam di Malaysia dan dunia.

No comments:

Post a Comment