Wednesday, July 23, 2014

PBB DIDESAK MENGHANTAR PASUKAN TENTERA PENGAMAN KE GAZA



23hb Julai 2014                                                                                        
           

KENYATAAN MEDIA
Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM)

PBB DIDESAK MENGHANTAR PASUKAN TENTERA PENGAMAN KE GAZA

Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) dan seluruh rakyat Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman Israel serta dukacita dengan kegagalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  menghalang Israel daripada terus mengganas dengan pengeboman tanpa henti terhadap rumah, masjid, sekolah tempat perlindungan di bawah pengurusan PBB dan  hospital.  Tentera pengganas Israel terang-terang membunuh kanak-kanak, orang tua, wanita dan pejuang yang mempertahankan tanah air daripada penaklukan berganda. Ada pemimpin-pemimpin Israel sendiri terang-terang menggalakkan pembunuhan kanak-kanak dan wanita.  Setakat ini hampir 700 orang dibunuh dan 4,000 orang awam cedera serta ratusan bangunan termasuk yang di bawah jagaan beberapa agensi PBB  dimusnahkan oleh tentera pengganas Israel.

 Pemusnahan penduduk, harta benda dan infrastruktur penghidupan GAZA oleh tentera pengganas Israel yang berterusan  sejak dua minggu lalu, pada hemat kami adalah strategi dan tentangan terang-terangan oleh Israel untuk menggagalkan penyelesaian ‘dua negara’ yang telah diusahakan sejak lebih 20 tahun lalu oleh kepimpinan Yasser Arafat dan kini mendapat sokongan komuniti antarabangsa termasuk oleh PBB, OIC dan Amerika Syarikat sendiri.  Pembebasan dan kewujudan negara Palestin sewajarnya dipercepatkan oleh PBB dan menolak apa jua alasan Israel untuk menggagalkannya kerana Palestin telah menderita sejak tahun 1948 lagi apabila PBB dengan desakan Amerika Syarikat dan Britain memperakui negara baru Israel di atas tanah Palestin yang terusir dan menjadi pelarian.

Sehubungan dengan itu, kami menggesa ‘Security Council’ PBB dengan serta merta membuat resolusi mengwujud dan menghantar Pasukan Pengaman PBB ke Palestin, khususnya di GAZA bagi memainkan peranan penting memantau supaya tidak ada serangan daripada Israel dan sebaliknya. 

Malaysia sewajarnya turut serta menyumbang dalam Pasukan Pengaman PBB yang akan dihantar ke GAZA, Palestin itu.  Malaysia mempunyai pengalaman dalam membantu mewujudkan perdamaian di beberapa negara ASEAN.  Pengalaman ini boleh digunakan dalam membantu PBB menyelesaikan konflik Israel dan Palestin secara diplomasi dengan  konsep keamanan kekal.


Kenyataan Oleh:

Mohd Shamsuddin Damin
Setiausaha  (Tel: 016-375 6618)
Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM)

Sunday, July 20, 2014

PROGRAM BANTUAN KEMANUSIAAN ROHINGYA & MYANMAR MUSLIM OLEH UWRO, MAPIM & IKIAM



Kepada Yang Berkenaan


PROGRAM BANTUAN KEMANUSIAAN ROHINGYA / MYANMAR MUSLIM ANJURAN BERSAMA UWRO, MAPIM DAN IKIAM DI ANJUNG RAHMAT, BATU 6, GOMBAK

Dengan hormatnya kami merujuk kepada perkara di atas.

1.         IKIAM sedang menganjurkan beberapa program strategik dalam membantu para pelarian Rohingya & Myanmar Muslim.  Salah satu program adalah BANTUAN KEMANUSIAAN ANJURAN UNION OF THE WORLD ROHINGYA ORGANIZATIONS (UWRO), MAPIM dan IKIAM bertempat di Anjung Rahmat, Batu 6, Kuala Lumpur khusus untuk membantu mendaftarkan para PELARIAN MYANMAR MUSLIM bagi menyokong proses pendaftaran mereka dengan pihak pejabat UNHCR

2.          IKIAM giat membantu Pelarian Rohingya / Muslim Myanmar sejak bulan Ogos 2012 lalu.  Usaha ini juga pada selari dengan hasrat YAB. Perdana Menteri dalam membantu penyelesaian konflik dan isu pelarian umat Islam Myanmar ke Malaysia serta negara-negara ASEAN lainnya semasa beliau mengunjungi Myanmar baru-baru ini.

3.         Sehubungan itu pihak kami memohon jasa baik dan ihsan daripada Tuan/Puan untuk bekerjasama membantu usaha bantuan kemanusiaan ini.   Pengelola usaha ini adalah Encik Muhammad Ghiyuthudeen A. Salam, Setiausaha UWRO dan boleh dihubungi di nombor 016-366 4156.

Kerjasama dan sumbangan dalam pelbagai bentuk (makanan / pakaian/ buku dan sebagainya) daripada pihak Tuan/Puan amatlah dihargai dan diucapkan ribuan terima kasih.

Sekian, wassalam.

Yang benar,
INSTITUT KERJASAMA ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA



MOHD SHAMSUDDIN DAMIN
Setiausaha
No. Tel:  016-375 6618                                                                          

Sunday, July 13, 2014

IKIAM Cadang OIC Tubuh Pasukan Tentera Islam



Gaza: OIC Dicadang Tubuh Pasukan Tentera Islam

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dicadang menubuhkan sebuah pasukan tentera Islam dengan keanggotaan pelbagai negara Islam seluruh dunia, berikutan serangan kejam berterusan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), yang mencadangkan perkara berkenaan, menarik perhatian bahawa pasukan itu seterusnya boleh digerakkan secepat mungkin ke Gaza bagi menangkis dan menghentikan serangan tentera Israel.

Setiausahanya, Mohd Shamsuddin Damin berkata, selain usaha diplomasi dan rundingan yang dijalankan, penubuhan tentera berkenaan secara tidak langsung dapat menyedarkan pengganas Israel bahawa umat Islam bersedia mempertahankan Gaza dan Palestin daripada dimusnahkan.

"Pada hemat kami juga, jihad bertahan ini wajar kerana tentera pengganas Israel mahu memusnahkan Gaza dan tanah suci umat Islam.

"Semua kriteria menggerakkan jihad bertahan seperti dijelaskan dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW telah dilanggar tentera pengganas Israel," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Israel telah melancarkan serangan ke atas Gaza dalam operasi yang digelar 'Operasi Perlindungan Sempadan' sejak Selasa lepas.

Sehingga kini, media melaporkan sekurang-kurangnya 121 rakyat Palestin terkorban manakala ratusan lagi cedera, selain masjid, sekolah dan ratusan rumah musnah akibat serangan bertubi-tubi roket tentera rejim Israel terhadap Gaza.

-- BERNAMA

Cadang OIC Tubuh Pasukan Tentera Islam




KENYATAAN MEDIA
Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM)
dan Majlis Gerakan NGO Islam ASEAN


Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) sangat dukacita dengan pengeboman, pembunuhan kanak-kanak, orang tua, wanita dan pejuang serta pemusnahan GAZA oleh tentera pengganas Israel yang berterusan sejak 9hb Julai 2014 yang lalu.  Kami difahamkan ratusan penduduk GAZA telah dibunuh dan ribuan lagi cedera.  Masjid, sekolah, pejabat  dan ratusan rumah telah dimusnahkan, termasuk pusat jagaan OKU.  Rumah sakit telah dipenuhi dan tidak cukup untuk merawat mangsa serangan tentera Israel sangat menghina umat Islam Palestin dan seluruh dunia.

Dunia sedang membiarkan tentera Israel memusnahkan GAZA dan Palestin.  Negara-negara besar memberikan sokongan padu kepada Israel.  United Nation Security Council semalam pula hanya meminta ‘gencatan senjata’.  Israel dengan penuh bongkak menolak permintaan tersebut dan kini sedang menggerakkan tentera darat untuk memasuki dan memusnahkan GAZA.

Sehubungan dengan itu, kami mencadangkan kepada Organization of the Islamic Conference (OIC) supaya menubuhkan Pasukan Tentera Islam daripada pelbagai negara Islam yang boleh digerakkan secepat mungkin ke GAZA bagi menghentikan serangan tentera pengganas Israel.  Pada hemat kami JIHAD bertahan ini wajar kerana tentera pengganas Israel mahu memusnahkan GAZA, Palestin dan tanah  suci umat Islam. Semua kriteria untuk menggerakkan JIHAD bertahan seperti yang dijelaskan di dalam Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW telah dilanggar oleh tentera pengganas Israel.

Pada hemat kami, selain dari usaha diplomasi dan rundingan yang sedang dijalankan, penubuhan Pasukan Tentera Islam secara rasmi boleh menyedarkan pengganas Israel bahawa umat Islam memang bersedia untuk mempertahankan diri dari GAZA dan Palestin dimusnahkan Israel.



Kenyataan Oleh:

Mohd Shamsuddin Damin
Setiausaha  (Tel: 016-375 6618)
Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM)

Bertarikh:  13hb Julai 2014

Tuesday, July 1, 2014

Selamat Mengimarahkan Ramadan Al-Mubaraq

Selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak. 

Moga puasa dan ibadah kita diterima Allah SWT dengan ganjaran sebaiknya.  Moga Allah sentiasa merahmati kita semua dengan rezeki yang melimpah ruah, kesihatan yang baik, silaturrohim yang kukuh, kebahagian yang menyentuh qalbu, ilmu yang meningkatkan darjat dan memberi manfaat kepada ramai serta segala kebaikan di dunia dan juga di akahirat.

Ya Allah! Ampunilah dosa kedua-dua ibubapa kami, diri kami, keluarga kami, jiran kami, sahabat-sahabat kami, guru-guru kami, pemimpin-pemimpin kami, murid-murid kami serta saudara-saudara dan umat Islam sekelian yang hidup mahupun yang berada di alam barzah.


Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami memberikan bantuan dan khidmat kepada mereka yang memerlukan, melaksanakan program-program pembangunan ummah di masa terdekat dan berterusan oleh IKIAM dan para aktivisnya.