Tuesday, September 25, 2012

INOVASI PEMANGKIN KEUSAHAWANAN & EKONOMI



KENYATAAN MEDIA

Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM)


Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM)  menyokong penuh usaha YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang meletakkan ‘inovasi’ sebagai salah satu mekanisma dalam agenda transformasi pembangunan negara dalam Rancangan Malaysia Ke-10.  Langkah strategik jangka panjang pembangunan inovasi ini meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara maju dalam konteks menggalakkan pembinaan kekayaan melalui kejayaan inovasi dan keusahawanan.

Kami yakin YAB Perdana Menteri akan memperuntukkan bajet yang tinggi dalam Belanjawan 2013 yang akan dibentangkannya bagi melaksanakan pelbagai program berkaitan dengan pembangunan inovasi rakyat dan negara.  Kejayaan inovasi rakyat dan organisasi Malaysia dalam pelbagai bidang akan meningkatkan lagi ketinggian keilmuan dan kemampanan ekonomi negara.

Selari dengan hasrat dan visi YAB Perdana Menteri serta kerajaan untuk merancakkan kegiatan inovasi dan keusahawanan, IKIAM merancang untuk mengadakan SEMINAR TRANSFORMASI GRADUAN JURUSAN AGAMA – PERNIAGAAN DAN KEUSAHAWANAN SEBAGAI KERJAYA DAN IBADAH SERTA PERLANCARAN DANA AL-TIJARAH pada 17hb November 2012 bagi membantu dan membimbing graduan jurusan agama yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan, perniagaan dan inovasi secara tersusun dalam bidang-bidang berpotensi dan dengan sokongan rangkaian rakan usahawan yang telah berjaya serta masyarakat dalam serta luar negara.

IKIAM yakin para graduan pengajian Islam juga akan dapat berinovasi dan meningkatkan nilai tambah diri serta ekonomi perniagaan mereka dengan penerapan integrasi modul latihan kemahiran, ilmu perniagaan dan mekanisma berinovasi yang sesuai dengan perniagaan yang ingin diceburi secara jangka panjang dan berterusan.   Ringkasnya, inovasi boleh menjadi pemangkin kemajuan keusahawanan, perniagaan, sumber pembinaan kekayaan dan ekonomi umat Islam.

Kami berpandangan impak kejayaan inovasi sebagai mekanisma transformasi pembinaan kekayaan umat Islam adalah setara dengan impak positif yang lahir dari integrasi pendidikan negara, perbankan Islam, Takaful serta dasar Malaysia sebagai Pusat Halal dunia yang memberi manfaat besar kepada umat Islam Malaysia serta dunia amnya. Terima kasih kepada YAB Perdana Menteri dan kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap pembangunan umat dan syariat Islam negara ini.





Sekian, terima kasih.


Kenyataan Oleh:

Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM)
Bertarikh:  25hb September 2012

Setiausaha :  Mohd Shamsuddin Damin   (Tel:  019-237 7887)

Mohd Shamsuddin Damin adalah seorang Perunding Perniagaan dan pengarang buku motivasi bertajuk ‘Muslim Mesti Jadi Inovator’.


      




No comments:

Post a Comment