Thursday, August 30, 2012

Tahniah Kita Merdeka - Kekalkan Kemerdekaan





Sukacita Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) ingin merakamkan ucapan tahniah dan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-55 kepada seluruh rakyat Malaysia pada hari ini, 31hb Ogos 2012 yang berada di dalam dan di luar negara. 

Alhamdulillah, kami juga bersyukur dan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pemimpin dan pejuang kemerdekaan negara yang masih hidup dan juga yang telah meninggalkan kita selamanya di atas pengorbanan serta sumbangan mereka membebaskan negara daripada belenggu penjajahan.   

Sebagai ingatan kepada kita, kesengsaraan umat Islam Rohingya dan juga mereka yang bukan beragama Islam yang menjadi mangsa keganasan yang kita cuba bantu melalui Misi Kemanusiaan ke Myanmar adalah kerana mereka bukan sahaja tidak Merdeka tetapi mereka tidak diiktiraf sebagai rakyat Myanmar.  Perjuangan menuntut kerakyatan merupakan tugas setiap umat Islam Rohingya Myanmar.  IKIAM cuba membantu secara diplomatik dan berhemah.

Hari ini kita rakyat Malaysia keseluruhannya bertuah, beruntung serta berpeluang untuk berinovasi dan mengejar cita-cita mengisi Kemerdekaan Malaysia ke arah membawa penghidupan yang lebih baik dalam perpaduan dan makmur serta dirahmati Allah SWT dengan kejayaan di dunia serta di akhirat.  Amin!

Merdeka!  Merdeka!  Merdeka!  Merdeka!  Merdeka!  Merdeka!  Merdeka!

Thursday, August 23, 2012

Kenyataan Media Oleh IKIAM - Isu Rohingya






KENYATAAN MEDIA
Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM)
dan Majlis Gerakan NGO Islam ASEAN

Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) dan Majlis Gerakan NGO Islam ASEAN mengalu-alukan (sekiranya benar) keputusan kerajaan Myanmar untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan hari Jumaat ini seperti yang dinyatakan oleh Presiden Thein Sein baru-baru ini.  Ini sejajar dengan Resolusi Persidangan Gerakan NGO Islam ASEAN pada 14hb Ogos 2012 lalu yang mendesak kerajaan Myanmar menghentikan serta merta pembunuhan dan kekejaman terhadap penduduk Islam Rohingya.   

Salah satu daripada lapan (8) perkara dalam Resolusi Persidangan Gerakan NGO Islam ASEAN tersebut adalah mendesak Kerajaan Myanmar mematuhi dan menghormati hak-hak kemanusiaan yang terkandung dalam protocol ASEAN Human Rights Body (AHRB) yang dipersetujui Myanmar sendiri pada 25 Disember 2008.

Sehubungan dengan itu, kami mengharapkan penubuhan dan seterusnya keaktifan serta merta  Suruhanjaya Siasatan tersebut akan menghentikan konflik penghapusan etnik Muslim Rohingya Muslim di Myanmar oleh kumpulan ekstremis Buddha buat selama-lamanya.  Kami menggesa siasatan dilakukan dengan teliti dan individu-individu serta pihak-pihak yang terlibat yang melakukan jenayah pembunuhan, kekejaman dan pembakaran rumah-rumah termasuk pembakaran puluhan masjid, surau, madrasah pengajian agama Islam dan sekolah dibawa ke muka pengadilan di Myanmar dan di mahkamah antarabangsa secepat mungkin. 

Kami juga menyeru kerajaan Myanmar memberikan penyelesaian bersepadu dan mampan iaitu memberikan hak jaminan keselamatan dan pembangunan di kawasan Muslim Rohingya serta hak kewarganegaraan bagi Muslim Rohingya di seluruh Myanmar dan para pelarian yang kini berada di puluhan negara di seluruh dunia.  Proses tersebut akan mengintegrasikan penduduk Muslim Rohingya dengan seluruh rakyat Myanmar untuk mereka hidup aman bersama menyumbang kepada pembangunan Myanmar.

Seterusnya langkah positif kerajaan Myanmar itu sedikit sebanyak akan membuka ruang  kepada kebenaran untuk IKIAM dan Majlis Gerakan NGO Islam ASEAN serta lain-lain organisasi NGO Malaysia dan antarabangsa yang telah siap sedia dengan pelbagai barangan makanan, ubat, pakaian dan buku serta alat tulis kanak-kanak   untuk melaksanakan Misi Kemanusiaan Rohingya di wilayah Rakhine dan kawasan-kawasan  yang terbabit dengan konflik tersebut. Ini bagi memastikan bantuan yang disalurkan dapat diterima oleh umat Islam Rohingya yang menjadi mangsa pembunuhan dan kekejaman serta kebuluran.

IKIAM juga sedang menggerakkan sukarelawan International Islamic Peace Corps (IIPC) yang penubuhannya merupakan salah satu perkara Resolusi Persidangan tersebut di atas.  Para sukarelawan IICP akan menyumbang khidmat  tenaga, kepakaran kesihatan dan pelbagai kemahiran serta kaunseling kepada mangsa penduduk Islam Rohingya di Myanmar ataupun di negara-negara yang memberi perlindungan kepada para pelarian di kem-kem pelarian seperti di Bangladesh dan beberapa Negara lain.

Walaupun ada langkah positif di pihak kerajaan Myanmar, IKIAM dan Majlis Gerakan NOG Islam ASEAN tetap menggesa badan-badan dunia iaitu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN menganjurkan persidangan khas mengenai isu Rohingya secepat mungkin bagi membincangkan langkah-langkah strategik bagi menangani isu penghapusan etnik Muslim Rohingya secara bersepadu dengan penglibatan, pengawasan dan bantuan masyarakat antarabangsa.

Isu penduduk Muslim Rohingya adalah isu antarabangsa yang mesti diselesaikan segera secara diplomatik,  bantuan kemanusiaan kepada mangsa penduduk Islam Rohingya dan bantuan teknikal kepada kerajaan Myanmar kerana sebenarnya ia telah berlanjutan puluhan tahun dengan ratusan ribu telah terbunuh, cedera, kebuluran, sakit, kehilangan rumah tangga, terpisah daripada ibubapa dan ratusan ribu lagi menjadi pelarian, melebihi apa yang berlaku di Bosnia dan Palestin.

Kami juga ingin menggesa NGO-NGO Budha di Malaysia yang telah menikmati kesejahteraan dan kemewahan tampil membantu penyelesaian isu dengan mempengaruhi dan mendesak kumpulan ekstrimis Budha di seluruh dunia, khasnya di Myanmar untuk menghentikan kekejaman terhadap penduduk Muslim Rohingya.  Mereka mesti memberitahu bahawa mereka boleh hidup aman sejahtera di negara-negara Islam seperti Malaysia dan Indonesia sebagai kumpulan minoriti.  Sehubungan dengan itu penduduk majoriti Budha di Myanmar semestinya mengamalkan toleransi dan hidup bersama dengan penduduk Muslim Rohingya. 


Kenyataan Media Oleh:

Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM)
Bertarikh:  23hb Julai 2012

Pengerusi  :      Datuk Zahidi Zainul Abidin   (Tel:  012-210 0479)
Setiausaha :     Mohd Shamsuddin Damin   (Tel:  019-237 7887) 
E-mail:  dinbangi@gmail.com            Blog:   http://ikiam.blogspot.com

Sunday, August 19, 2012

Taqabalallahu Minna Wa Minkum – Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Batin



Alhamdulillah Syawal telah tiba meninggalkan Ramadan yang penuh dengan ibadah meningkatkan keimanan.  Saya sekeluarga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Taqabalallahu Minna Wa Minkum – Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Batin kepada adik beradik, saudara mara, sahabat handai, rakan-rakan FB, semua yang mengenali serta seluruh umat Islam. 

Moga Allah terus mengurniakan kita dengan rasa kesyukuran & kegembiraan,  keimanan & ketaqwaan,  kesihatan, ilmu & inovasi, kasih sayang, tambahan rezeki  halal yang melimpah ruah serta keamanan Negara Malaysia ini.  

 Begitu juga moga saudara-saudara kita umat Rohingya, Palestin, Selatan Thailand, Selatan Filippine dan dimana jua kawasan bergolak kami doakan anda semua bersabar,  berusaha dan berjuang untuk keamanan dan kesejahteraan.  Amin.

InsyaAllah IKIAM sedang meneruskan usaha Misi Keamanan Rohingya.  Moga misi kita berjaya dalam meringankan beban umat Islam Rohingya dan mendapat petunjuk serta bantuan Allah SWT sentiasa. Amin.

Friday, August 17, 2012

Dana Misi Kemanusiaan Rohingya



 
Sumbangkan melalui

Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia

Maybank Akaun:           564557333403

Hubungi Setiausaha:     019-237 7887


Blog:  http://ikiam.blogspot.com




Thursday, August 16, 2012

Resolusi Persidangan Pada 25 Ramadhan 1433H


RESOLUSI
PERSIDANGAN GERAKAN NGO ISLAM ASEAN
MISI KEMANUSIAAN ROHINGYA


Persidangan Gerakan NGO Islam ASEAN  yang bersidang pada 25 Ramadhan 1433H bersamaan 14 Ogos 2012 di Kuala Lumpur menegaskan bahawa penghapusan etnik Rohingya di Rakhine, Myanmar perlu diberhentikan serta merta dan mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan di mahkamah antarabangsa.  Kerajaan Myanmar perlu bertanggungjawab untuk memastikan hak kemanusiaan dan hak kewarganegaraan kaum Rohingya perlu dihormati kerana kaum Rohingya adalah kaum peribumi di wilayah Rakhine (dulunya Arakan).

Atas penegasan tersebut maka Persidangan memutuskan:

1.      Perlu diwujudkan satu mekanisme dalam bentuk Majlis Gerakan NGO Islam ASEAN yang menggabungkan semua badan-badan Islam di seluruh ASEAN dalam mengambil inisiatif menangani isu Rohingya ini.  Sehubungan itu Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) dilantik untuk menyediakan rangka kerja kea rah pembentukan mekanisme ini.  Sehubungan itu Kuala Lumpur akan menjadi pusat gerakan dalam menangani masalah Rohingya ini

2.      Menggesakan badan-badan dunia iaitu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menganjurkan persidangan khas mengenai isu Rohingya secepat mungkin.

3.      Menggesa Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) mengambil langkah-langkah berikut:

(1)   Menganjurkan satu persidangan khas mengenai isu Rohingya secepat mungkin.

(2)   Mengambil tindakan ke atas Myanmar yang gagal mematuhi dan menghormati hak-hak kemanusiaan yang terkandung dalam protocol ASEAN Human Rights Body (AHRB) yang dipersetujui oleh Myanmar sendiri pada 15 Disember 2008.
.
(3)   Menggantung hasrat melantik Myanmar menjadi Pengerusi ASEAN pada 2014 sehingga isu Rohingya ditangani.

4.      Menggesa Kerajaan British mengambil tanggungjawab moral dan diplomatic dengan menerangkan fakta sejarah tentang kaum Rohingya di era kolonial.

5.      Mewujudkan International Islamic Peace Corps dalam usaha menggerakkan kerjasama erat dikalangan NGO-NGO Islam seluruh dunia dalam mengumpul tenaga sukarelawan untuk menjayakan misi kemanusiaan di Myanmar.

6.      Mewujudkan Islamic Humanitarian Fund untuk mengumpulkan sumber kewangan dalam membiayai misi kemanusiaan.

7.      Mewujudkan Rohingya Research Centre disetiap Negara Islam agar isu ini difahami oleh semua umat Islam.

8.      Melantik YAB Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Honorary Ambassador misi kemanusiaan NGO dunia Islam.

 
ULASAN

Segala usaha sedang diambil bagi melaksanakan perkara-perkara dalam Resolusi ke arah membantu umat Islam Rohingya dalam jangkamasa pendek  melalui jalinan diplomatik ke atas Myanmar, misi kemanusiaan, dan penyelesaian jangkamasa panjang dari sudut kewarganegaraan serta pembangunan masyarakat Rohingya diMyanmar serta kebajikan pelarian Rohingya di merata negara.

Wednesday, August 15, 2012

Resolusi Persidangan Gerakan NGO Islam ASEAN




Persidangan Gerakan NGO Islam ASEAN - Misi Kemanusiaan Rohingya telah bersetuju kepada Resolusi yang ditandatangani oleh Wakil-Wakil NGO semua negara yang hadir.

Majlis Gerakan NGO Islam Asean Diwujud Tangani Isu Penduduk Rohingya


Sumber Gambar: Sinar Harian

KUALA LUMPUR — Satu majlis gerakan badan bukan kerajaan (NGO) Islam Asean, yang menggabungkan semua organisasi Islam di rantau itu, akan ditubuh sebagai inisiatif bagi menangani isu penduduk Rohingya.

Sehubungan itu, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) dilantik menyediakan rangka kerja ke arah pembentukan mekanisme ini.

Pelantikan itu menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat gerakan dalam menangani masalah Rohingya, dan pada masa sama, mencadangkan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi wakil kehormat misi kemanusiaan NGO dunia Islam.

Pengerusi IKIAM Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata perkara itu sebahagian daripada resolusi yang dicapai pada Persidangan Gerakan NGO Islam Asean yang dianjurkan bagi membela umat Islam Rohingya di Myanmar, yang dilanda penghapusan etnik.

“Persidangan hari ini menegaskan bahawa penghapusan etnik Rohingya di Rakhine, Myanmar perlu diberhentikan serta-merta, dan mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan di mahkamah antarabangsa.

“Kerajaan Myanmar perlu bertanggungjawab untuk memastikan hak kemanusian dan kewarganegaraan kaum Rohingya perlu hormati kerana kaum itu adalah kaum pribumi di wilayah Rakhine (yang dulunya Arakan),” katanya kepada pemberita semalam.

– BERNAMA


Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua pihak individu serta NGO Malaysia serta ASEAN yang dapat menghadiri Persidangan Gerakan NGO Islam ASEAN – Misi Kemanusiaan Rohingya anjuran Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) semalam, 25 Ramadhan 1433/ 14hb Ogos 2012.  

Kesepakatan dan komitmen kita para NGO ASEAN  untuk turut sama membantu menangani permasalah umat Islam Rohingya ini, insyaAllah sedikit sebanyak akan dapat membela mereka yang sedang dizalimi dan dibunuh.  Suara dan tindak NGO  Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand, Phiippine dan Kambodea dan Rohingya di seluruh dunia, insyaAllah akan dapat memecahkan tembok yang dibuat oleh kerajaan Myanmar dalam melindungi jenayah kemanusiaan. 

Gemblingan  gerakan dan desakan diplomatik serta misi kemanusiaan ini pada hemat kami akan menghasilkan bantuan dan penyelesaian positif yang kepada umat Islam Rohingya.  YAB Perdana Menteri dan YB Menteri Luar Malaysia sedang bekerja keras dan berhemah dalam menangani isu Rohingya ini. 
Masing-masing mesti dan perlu melaksanakan tanggungjawab Fisabilillah ini dalam apa juga bentuk -- setidak-tidaknya dengan doa yang berterusan.  Marilah kita sama-sama bertindak dan berdoa.  

Kepada pihak-pihak yang sudi sama membantu, hubungi saya di tel: 019-237 7887.  Sumbangan kewangan oleh individu mahupun koleksi masyarakat   boleh didepositkan ke dalam akaun ‘Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia’ – Akaun Maybank no. 5645 5733 3403.  Logistik bagi menerima sumbangan dalam bentuk selain daripada kewangan sedang diusahakan.   

Sekian, terima kasih.
Mohd Shamsuddin Damin - Setiausaha IKIAM. 

Thursday, August 9, 2012

PERSIDANGAN NGO ISLAM ASEAN - MISI KEMANUSIAAN ROHINGYA


Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) bersama Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Muslim Malaysia sukacita ingin mengumumkan bahawa Persidangan NGO Islam ASEAN – Misi Kemanusiaan Rohingya akan diadakan pada:-

            Tarikh              :           14hb Ogos 2012
            Masa                :           2.00 petang
            Tempat            :           Hotel The Regency Kuala Lumpur, Jalan Raja Alang           

Tujuan persidangan ini adalah untuk menunjukkan persepakatan dan perpaduan dikalangan umat Islam terutamanya dalam menghadapi isu-isu umat Islam di Asia Tenggara (ASEAN) dan di peringkat Antarabangsa.

Kami memohon doa daripada semua moga-moga Persidangan ini akan menghasilkan kesepakatan dan semangat ASEANdalam membantu umat Islam Rohingya dalam masa jangka pendek dan jangka panjang.