Ucapan YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansor - Isteri YAB Perdana Menteri
Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.
1. Alhamdulillah, marilah kita mengucapkan syukur dan merafakkan
sembah kepada Allah s.w.t. kerana atas limpah perkenan dan izin
rahmatNya jua dapat kita bersama-sama berkumpul dalam majlis Pelancaran
Kempen "Say No- Unite to End Violence Against Women" pada hari ini.
2.
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan
tahniah kepada Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM),
Srikandi Malaysia, Prihatin Kuala Lumpur dan Universiti Pendidikan
Sultan Idris (UPSI) di atas inisiatif dan kerjasama dalam menganjurkan
kempen ini.
Sesungguhnya kesedaran terhadap pentingnya menangani
keganasan terutamanya terhadap kaum wanita haruslah diperluaskan bagi
memastikan kesejahteraan yang saksama dirasai oleh kesemua rakyat
Malaysia, tidak kira samada wanita mahupun lelaki dalam persediaan kita
melangkah ke era negara maju.
Hadirin yang saya kasihi sekalian,
3. "Unite to End Violence Against Women" merupakan kempen hasil
cetusan idea Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),
Encik Ban Ki-Moon. Kempen yang telah dilancarkan pada tahun 2008 ini
bertujuan untuk mencegah dan melenyapkan segala bentuk keganasan
terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia. Ianya
menyeru agar badan-badan kerajaan, bukan kerajaan, swasta dan
keseluruhan agensi di bawah PBB untuk bekerjasama, berganding bahu dan
menggembleng tenaga bagi memastikan isu keganasan terhadap wanita dan
kanak-kanak ditangani dengan baik. Mesejnya adalah supaya hak wanita dan
kanak-kanak perlu dijaga serta dihormati sepanjang masa.
4. Kempen tersebut telah berjaya mengumpul lebih 5 juta tandatangan
daripada masyarakat seluruh dunia sebagai tanda sokongan terhadap kempen
tersebut serta menyeru agar ianya dijadikan agenda utama
kerajaan-kerajaan di seluruh dunia. Sehingga kini, kempen ini telah
dilancarkan di benua Afrika, Asia Pasifik, Latin Amerika dan juga
Kepulauan Carribean. Kini tibalah masanya bagi Malaysia pula melancarkan
kempen "Say No - Unite To End Violence Against Women" peringkat
kebangsaan bagi merealisasikan harapan kempen ini.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
5. Keganasan terhadap wanita adalah masalah sejagat yang melanda
seluruh dunia tanpa mengira bangsa, agama, kedudukan mahupun budaya.
Definisinya mengikut Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) adalah
perbuatan yang menganiaya wanita dan kanak-kanak perempuan dalam
pelbagai cara, samada melalui penderaan fizikal, emosi ataupun gangguan
seksual. Adakalanya keadaan berlakunya keganasan ini adalah begitu
mendalam di kalangan sesetengah masyarakat sehinggakan ianya telah
dianggap oleh ramai wanita berkenaan sebagai salah satu cara hidup
mereka.
6. Menurut sesetengah ahli sejarah, keganasan terhadap wanita ada
hubung kaitnya dengan persepsi masyarakat tersebut terhadap status
wanita yang mana mereka dianggap sebagai kelas yang lebih rendah
daripada kaum lelaki. Laporan daripada UN Declaration on the Elimination
of Violence Against Women menyatakan bahawa keganasan ini adalah
sebagai manifestasi terhadap ketidakseimbangan hubungan kuasa di antada
kaum wanita dan lelaki, yang mengakibatkan berlakunya diskriminasi
terhadap wanita serta penyekatan kemajuan wanita dalam pelbagai bidang.
7. Mengikut kajian yang dijalankan oleh PBB pada tahun 2002, secara
global, dianggarkan sejumlah 150 juta kanak-kanak perempuan di bawah
umur 18 tahun menderita akibat daripada penderaan seksual. Adalah juga
dianggarkan sebanyak 80% daripada 800,000 orang yang diperdagangkan
setiap tahun adalah wanita dan kanak-kanak perempuan, di mana 70%
daripadanya adalah untuk tujuan seksual.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
8. Keganasan terhadap wanita adalah pencabulan hak asasi manusia.
Ianya mempunyai kesan yang sangat mendalam dan menguggat bukan sahaja
kesihatan mental dan fizikal kaum wanita tetapi juga membawa kesan
terhadap anak-anak dan keluarga. Kanak-kanak yang membesar dalam
keluarga di mana terdapatnya keganasan terhadap wanita akan menghadapi
pelbagai masalah tingkahlaku dan emosi. Mengikut kajian Bank Dunia pada
tahun 1994 ke atas kaum wanita berumur 16 hingga 44 tahun, pemerkosaan
dan keganasan domestik adalah lebih merbahaya daripada penyakit kanser,
malaria ataupun kemalangan.
9. Seorang wanita yang mengalami sejarah keganasan fizikal ke atasnya
secara langsung akan turut terganggu secara emosi. Sedangkan luka
luaran sesudah sembuh pun akan meninggalkan parut, apatah lagi luka
emosi dalaman. Mereka yang dikasari secara kebiasaannya akan mengalami
kemurungan, fobia, lekas marah dan mungkin mencuba untuk mencederakan
diri. Pembentukan kematangan sosial, emosi dan jasmani seorang wanita
juga akan terbantut akibat perilaku pihak yang tidak bertanggungjawab.
10. Keganasan terhadap wanita juga mempunyai kesan sosial dan ekonomi
yang mengakibatkan implikasi terhadap masyarakat.Sebagai contoh, ianya
menyebabkan wanita tidak berupaya untuk bekerja, kehilangan pendapatan
dan tidak mampu untuk menjaga diri sendiri, anak-anak dan juga keluarga.
11. Fenomena ini juga dikatakan akan memberikan impak yang negatif
terhadap produktiviti dan ekonomi. Statistik PBB menunjukkan bahawa
keganasan domestik telah mengakibatkan kerugian sebanyak lebih kurang
USD1.16 billion setahun di Kanada, USD5.8 billion setahun di Amerika
Syarikat dan USD11.38 billion setahun di Australia. Di samping itu,
dianggarkan sebanyak USD 4.1 billion pula dibelanjakan bagi tujuan
perkhidmatan, perubatan dan kesihatan bagi mangsa keganasan.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
12. Di Malaysia pula, kebanyakan keganasan yang direkodkan adalah
berbentuk keganasan domestik dan penderaan seksual. Statistik daripada
Polis Diraja Malaysia menunjukkan secara puratanya terdapat 3,000 kes
keganasan terhadap wanita pada setiap tahun. Dengan peningkatan kes-kes
jenayah seperti rogol dan penderaan, situasi ini sewajarnya dibendung
sebelum menjadi lebih melarat.
13. Kerajaan Malaysia memandang serius terhadap keganasan rumah
tangga yang berlaku di negara ini. Justeru, pihak kerajaan menerusi
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPMKM) telah
mengambil beberapa inisiatif seperti meminda Akta Keganasan Rumah Tangga
1994 bagi memenuhi keperluan semasa. Selain itu khidmat bimbingan dan
kaunseling bagi mengukuhkan emosi dan psikologi mangsa keganasan rumah
tangga juga disediakan melalui perkhidmatan Talian Nur bagi memudahkan
orang awam termasuk mangsa keganasan rumah tangga untuk membuat aduan
ataupun membuat pertanyaan. Peruntukan undang-undang juga disediakan
melalui akta-akta seperti Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521),
Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Undang-undang Keluarga Islam 1984 (Akta
303) dan lain-lain lagi.
14. Adalah juga menjadi tanggungjawab kita selaku ahli masyarakat
untuk memastikan bahawa keselamatan setiap wanita dan kanak-kanak
perempuan di dalam masyarakat kita sentiasa terpelihara. Ini kerana
wanita adalah pemangkin masa hadapan negara. Bak kata pepatah, "tangan
yang menghayun buaian mampu untuk menggegarkan satu dunia". Usah biarkan
masa depan wanita dan anak bangsa kita menjadi gelap kerana kita tidak
prihatin terhadap nasib yang menimpa mereka. Kadangkala budaya "menjaga
tepi kain orang" itu adalah perlu di dalam masyarakat bagi memastikan
tidak ada ahli masyarakat kita terutamanya kaum wanita yang dizalimi.
15. Masyarakat juga harus menanam nilai- nilai murni seperti sikap
pemurah, penyabar, toleransi dan prihatin tanpa mengira jantina. Lelaki
selaku pelindung perlu mengawasi tingkah laku serta memupuk rasa hormat
terhadap wanita. Pembentukan kesefahaman dalam perhubungan dan
permuafakatan adalah penting dan ia mampu menyelamatkan dan mengurangkan
kes penderaan dikalangan wanita.
16. Kaum lelaki harus sentiasa mengingati tanggungwabnya ke atas kaum
wanita, sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa' ayat 34
yang bermaksud: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang
bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah SWT telah
melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas orang
perempuan dan karena mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian harta
yang mereka miliki." Oleh itu, mereka mestilah menjaga tanggungjawab dan
memelihara wanita selaku amanah Allah dengan sebaiknya. Wanita itu
mempunyai pelbagai kelebihan dan karomah yang dikurniakan ilahi. Sifat
kelembutan mereka adalah agar wanita dan lelaki berkasih sayang dan
bukan sebagai tempat melempiaskan api kemarahan.
Hadirin yang saya kasihi sekalian,
17. Tugas menentang keganasan terhadap wanita bukanlah semata-mata
dipertanggungjawabkan kepada pihak berkuasa sahaja. Dari itu, marilah
kita bersama-sama sepakat untuk menghentikan sebarang bentuk keganasan
fizikal, seksual mahupun mental terhadap wanita. Saya percaya ianya
boleh bermula dengan kesedaran dan pendidikan. Sehubungan dengan itu,
saya ingin menyeru agar pihak kerajaan, bukan kerajaan, badan berkanun,
institusi pendidikan, rakan-rakan swasta mahupun individu perseorangan
untuk bersama-sama berganding bahu bagi memastikan penghapusan keganasa
terhadap wanita di Malaysia. Sebuah lilin tidak akan menjadi lebih malap
dengan menyalakan lilin yang lain. Saya percaya bahawa kempen ini
merupakan satu langkah yang positif ke arah merealisasikan matlamat
tersebut.
18. Justeru, cadangan Srikandi Malaysia untuk menerbitkan Majalah WH
ataupun Wanita Hebat yang bakal menjadi majalah rasmi kempen ini adalah
satu tindakan follow-up yang baik kepada pelancaran kempen ini. Dengan
adanya Majalah WH ini, maka informasi tentang kempen ini akan dapat
disebarkan dengan lebih meluas lagi. Adalah menajdi harapan saya agar
majalah ini akan berjaya diterbitkan dan mendapat sambutan yang
menggalakkan di pasaran kelak.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
19. Sebagai akhir kata, saya ingin mengucapkan sekalung tahniah
kepada Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), Srikandi
Malaysia, Prihatin Kuala Lumpur dan Universiti Pendidikan Sultan Idris
(UPSI) di atas penganjuran kempen ini. Adalah menjadi harapan saya agar
ianya mampu untuk mencapai matlamatnya seiring dengan harapan Setiausaha
Agung PBB untuk memastikan bahawa keganasan terhadap wanita dan
kanak-kanak di seluruh dunia akan dilupuskan suatu hari nanti. Saya
percaya bahawa tiada yang mustahil untuk dicapai sekiranya usaha dan
inisiatif yang berterusan diambil untuk merealisasikan hasrat tersebut.
20. Dengan lafaz kalimah suci Bismillahirahmanirrahim, saya dengan
sukacitanya merasmikan Kempen "Say No- Unite to End Violence Against
Women" peringkat Kebangsaan pada hari ini.
Sekian wabillahitaufiq walhidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih