Ucapan YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansor - Isteri YAB Perdana Menteri
22/11/2012
MAJLIS PELANCARAN RASMI KEMPEN 'SAY NO - UNITE TO END VIOLENCE AGAINST WOMEN'
Tempate: UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS, TG. MALIM
Tempate: UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS, TG. MALIM
Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.
1. Alhamdulillah, marilah kita mengucapkan syukur dan merafakkan sembah kepada Allah s.w.t. kerana atas limpah perkenan dan izin rahmatNya jua dapat kita bersama-sama berkumpul dalam majlis Pelancaran Kempen "Say No- Unite to End Violence Against Women" pada hari ini.
2. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), Srikandi Malaysia, Prihatin Kuala Lumpur dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di atas inisiatif dan kerjasama dalam menganjurkan kempen ini.
Sesungguhnya kesedaran terhadap pentingnya menangani keganasan terutamanya terhadap kaum wanita haruslah diperluaskan bagi memastikan kesejahteraan yang saksama dirasai oleh kesemua rakyat Malaysia, tidak kira samada wanita mahupun lelaki dalam persediaan kita melangkah ke era negara maju.
Hadirin yang saya kasihi sekalian,
3. "Unite to End Violence Against Women" merupakan kempen hasil cetusan idea Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Ban Ki-Moon. Kempen yang telah dilancarkan pada tahun 2008 ini bertujuan untuk mencegah dan melenyapkan segala bentuk keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia. Ianya menyeru agar badan-badan kerajaan, bukan kerajaan, swasta dan keseluruhan agensi di bawah PBB untuk bekerjasama, berganding bahu dan menggembleng tenaga bagi memastikan isu keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak ditangani dengan baik. Mesejnya adalah supaya hak wanita dan kanak-kanak perlu dijaga serta dihormati sepanjang masa.
4. Kempen tersebut telah berjaya mengumpul lebih 5 juta tandatangan daripada masyarakat seluruh dunia sebagai tanda sokongan terhadap kempen tersebut serta menyeru agar ianya dijadikan agenda utama kerajaan-kerajaan di seluruh dunia. Sehingga kini, kempen ini telah dilancarkan di benua Afrika, Asia Pasifik, Latin Amerika dan juga Kepulauan Carribean. Kini tibalah masanya bagi Malaysia pula melancarkan kempen "Say No - Unite To End Violence Against Women" peringkat kebangsaan bagi merealisasikan harapan kempen ini.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
5. Keganasan terhadap wanita adalah masalah sejagat yang melanda seluruh dunia tanpa mengira bangsa, agama, kedudukan mahupun budaya. Definisinya mengikut Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) adalah perbuatan yang menganiaya wanita dan kanak-kanak perempuan dalam pelbagai cara, samada melalui penderaan fizikal, emosi ataupun gangguan seksual. Adakalanya keadaan berlakunya keganasan ini adalah begitu mendalam di kalangan sesetengah masyarakat sehinggakan ianya telah dianggap oleh ramai wanita berkenaan sebagai salah satu cara hidup mereka.
6. Menurut sesetengah ahli sejarah, keganasan terhadap wanita ada hubung kaitnya dengan persepsi masyarakat tersebut terhadap status wanita yang mana mereka dianggap sebagai kelas yang lebih rendah daripada kaum lelaki. Laporan daripada UN Declaration on the Elimination of Violence Against Women menyatakan bahawa keganasan ini adalah sebagai manifestasi terhadap ketidakseimbangan hubungan kuasa di antada kaum wanita dan lelaki, yang mengakibatkan berlakunya diskriminasi terhadap wanita serta penyekatan kemajuan wanita dalam pelbagai bidang.
7. Mengikut kajian yang dijalankan oleh PBB pada tahun 2002, secara global, dianggarkan sejumlah 150 juta kanak-kanak perempuan di bawah umur 18 tahun menderita akibat daripada penderaan seksual. Adalah juga dianggarkan sebanyak 80% daripada 800,000 orang yang diperdagangkan setiap tahun adalah wanita dan kanak-kanak perempuan, di mana 70% daripadanya adalah untuk tujuan seksual.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
8. Keganasan terhadap wanita adalah pencabulan hak asasi manusia. Ianya mempunyai kesan yang sangat mendalam dan menguggat bukan sahaja kesihatan mental dan fizikal kaum wanita tetapi juga membawa kesan terhadap anak-anak dan keluarga. Kanak-kanak yang membesar dalam keluarga di mana terdapatnya keganasan terhadap wanita akan menghadapi pelbagai masalah tingkahlaku dan emosi. Mengikut kajian Bank Dunia pada tahun 1994 ke atas kaum wanita berumur 16 hingga 44 tahun, pemerkosaan dan keganasan domestik adalah lebih merbahaya daripada penyakit kanser, malaria ataupun kemalangan.
9. Seorang wanita yang mengalami sejarah keganasan fizikal ke atasnya secara langsung akan turut terganggu secara emosi. Sedangkan luka luaran sesudah sembuh pun akan meninggalkan parut, apatah lagi luka emosi dalaman. Mereka yang dikasari secara kebiasaannya akan mengalami kemurungan, fobia, lekas marah dan mungkin mencuba untuk mencederakan diri. Pembentukan kematangan sosial, emosi dan jasmani seorang wanita juga akan terbantut akibat perilaku pihak yang tidak bertanggungjawab.
10. Keganasan terhadap wanita juga mempunyai kesan sosial dan ekonomi yang mengakibatkan implikasi terhadap masyarakat.Sebagai contoh, ianya menyebabkan wanita tidak berupaya untuk bekerja, kehilangan pendapatan dan tidak mampu untuk menjaga diri sendiri, anak-anak dan juga keluarga.
11. Fenomena ini juga dikatakan akan memberikan impak yang negatif terhadap produktiviti dan ekonomi. Statistik PBB menunjukkan bahawa keganasan domestik telah mengakibatkan kerugian sebanyak lebih kurang USD1.16 billion setahun di Kanada, USD5.8 billion setahun di Amerika Syarikat dan USD11.38 billion setahun di Australia. Di samping itu, dianggarkan sebanyak USD 4.1 billion pula dibelanjakan bagi tujuan perkhidmatan, perubatan dan kesihatan bagi mangsa keganasan.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
12. Di Malaysia pula, kebanyakan keganasan yang direkodkan adalah berbentuk keganasan domestik dan penderaan seksual. Statistik daripada Polis Diraja Malaysia menunjukkan secara puratanya terdapat 3,000 kes keganasan terhadap wanita pada setiap tahun. Dengan peningkatan kes-kes jenayah seperti rogol dan penderaan, situasi ini sewajarnya dibendung sebelum menjadi lebih melarat.
13. Kerajaan Malaysia memandang serius terhadap keganasan rumah tangga yang berlaku di negara ini. Justeru, pihak kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPMKM) telah mengambil beberapa inisiatif seperti meminda Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 bagi memenuhi keperluan semasa. Selain itu khidmat bimbingan dan kaunseling bagi mengukuhkan emosi dan psikologi mangsa keganasan rumah tangga juga disediakan melalui perkhidmatan Talian Nur bagi memudahkan orang awam termasuk mangsa keganasan rumah tangga untuk membuat aduan ataupun membuat pertanyaan. Peruntukan undang-undang juga disediakan melalui akta-akta seperti Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521), Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Undang-undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) dan lain-lain lagi.
14. Adalah juga menjadi tanggungjawab kita selaku ahli masyarakat untuk memastikan bahawa keselamatan setiap wanita dan kanak-kanak perempuan di dalam masyarakat kita sentiasa terpelihara. Ini kerana wanita adalah pemangkin masa hadapan negara. Bak kata pepatah, "tangan yang menghayun buaian mampu untuk menggegarkan satu dunia". Usah biarkan masa depan wanita dan anak bangsa kita menjadi gelap kerana kita tidak prihatin terhadap nasib yang menimpa mereka. Kadangkala budaya "menjaga tepi kain orang" itu adalah perlu di dalam masyarakat bagi memastikan tidak ada ahli masyarakat kita terutamanya kaum wanita yang dizalimi.
15. Masyarakat juga harus menanam nilai- nilai murni seperti sikap pemurah, penyabar, toleransi dan prihatin tanpa mengira jantina. Lelaki selaku pelindung perlu mengawasi tingkah laku serta memupuk rasa hormat terhadap wanita. Pembentukan kesefahaman dalam perhubungan dan permuafakatan adalah penting dan ia mampu menyelamatkan dan mengurangkan kes penderaan dikalangan wanita.
16. Kaum lelaki harus sentiasa mengingati tanggungwabnya ke atas kaum wanita, sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa' ayat 34 yang bermaksud: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah SWT telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas orang perempuan dan karena mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian harta yang mereka miliki." Oleh itu, mereka mestilah menjaga tanggungjawab dan memelihara wanita selaku amanah Allah dengan sebaiknya. Wanita itu mempunyai pelbagai kelebihan dan karomah yang dikurniakan ilahi. Sifat kelembutan mereka adalah agar wanita dan lelaki berkasih sayang dan bukan sebagai tempat melempiaskan api kemarahan.
Hadirin yang saya kasihi sekalian,
17. Tugas menentang keganasan terhadap wanita bukanlah semata-mata dipertanggungjawabkan kepada pihak berkuasa sahaja. Dari itu, marilah kita bersama-sama sepakat untuk menghentikan sebarang bentuk keganasan fizikal, seksual mahupun mental terhadap wanita. Saya percaya ianya boleh bermula dengan kesedaran dan pendidikan. Sehubungan dengan itu, saya ingin menyeru agar pihak kerajaan, bukan kerajaan, badan berkanun, institusi pendidikan, rakan-rakan swasta mahupun individu perseorangan untuk bersama-sama berganding bahu bagi memastikan penghapusan keganasa terhadap wanita di Malaysia. Sebuah lilin tidak akan menjadi lebih malap dengan menyalakan lilin yang lain. Saya percaya bahawa kempen ini merupakan satu langkah yang positif ke arah merealisasikan matlamat tersebut.
18. Justeru, cadangan Srikandi Malaysia untuk menerbitkan Majalah WH ataupun Wanita Hebat yang bakal menjadi majalah rasmi kempen ini adalah satu tindakan follow-up yang baik kepada pelancaran kempen ini. Dengan adanya Majalah WH ini, maka informasi tentang kempen ini akan dapat disebarkan dengan lebih meluas lagi. Adalah menajdi harapan saya agar majalah ini akan berjaya diterbitkan dan mendapat sambutan yang menggalakkan di pasaran kelak.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
19. Sebagai akhir kata, saya ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), Srikandi Malaysia, Prihatin Kuala Lumpur dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di atas penganjuran kempen ini. Adalah menjadi harapan saya agar ianya mampu untuk mencapai matlamatnya seiring dengan harapan Setiausaha Agung PBB untuk memastikan bahawa keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak di seluruh dunia akan dilupuskan suatu hari nanti. Saya percaya bahawa tiada yang mustahil untuk dicapai sekiranya usaha dan inisiatif yang berterusan diambil untuk merealisasikan hasrat tersebut.
20. Dengan lafaz kalimah suci Bismillahirahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Kempen "Say No- Unite to End Violence Against Women" peringkat Kebangsaan pada hari ini.
Sekian wabillahitaufiq walhidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih
No comments:
Post a Comment