Wednesday, July 23, 2014

PBB DIDESAK MENGHANTAR PASUKAN TENTERA PENGAMAN KE GAZA



23hb Julai 2014                                                                                        
           

KENYATAAN MEDIA
Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM)

PBB DIDESAK MENGHANTAR PASUKAN TENTERA PENGAMAN KE GAZA

Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) dan seluruh rakyat Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman Israel serta dukacita dengan kegagalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  menghalang Israel daripada terus mengganas dengan pengeboman tanpa henti terhadap rumah, masjid, sekolah tempat perlindungan di bawah pengurusan PBB dan  hospital.  Tentera pengganas Israel terang-terang membunuh kanak-kanak, orang tua, wanita dan pejuang yang mempertahankan tanah air daripada penaklukan berganda. Ada pemimpin-pemimpin Israel sendiri terang-terang menggalakkan pembunuhan kanak-kanak dan wanita.  Setakat ini hampir 700 orang dibunuh dan 4,000 orang awam cedera serta ratusan bangunan termasuk yang di bawah jagaan beberapa agensi PBB  dimusnahkan oleh tentera pengganas Israel.

 Pemusnahan penduduk, harta benda dan infrastruktur penghidupan GAZA oleh tentera pengganas Israel yang berterusan  sejak dua minggu lalu, pada hemat kami adalah strategi dan tentangan terang-terangan oleh Israel untuk menggagalkan penyelesaian ‘dua negara’ yang telah diusahakan sejak lebih 20 tahun lalu oleh kepimpinan Yasser Arafat dan kini mendapat sokongan komuniti antarabangsa termasuk oleh PBB, OIC dan Amerika Syarikat sendiri.  Pembebasan dan kewujudan negara Palestin sewajarnya dipercepatkan oleh PBB dan menolak apa jua alasan Israel untuk menggagalkannya kerana Palestin telah menderita sejak tahun 1948 lagi apabila PBB dengan desakan Amerika Syarikat dan Britain memperakui negara baru Israel di atas tanah Palestin yang terusir dan menjadi pelarian.

Sehubungan dengan itu, kami menggesa ‘Security Council’ PBB dengan serta merta membuat resolusi mengwujud dan menghantar Pasukan Pengaman PBB ke Palestin, khususnya di GAZA bagi memainkan peranan penting memantau supaya tidak ada serangan daripada Israel dan sebaliknya. 

Malaysia sewajarnya turut serta menyumbang dalam Pasukan Pengaman PBB yang akan dihantar ke GAZA, Palestin itu.  Malaysia mempunyai pengalaman dalam membantu mewujudkan perdamaian di beberapa negara ASEAN.  Pengalaman ini boleh digunakan dalam membantu PBB menyelesaikan konflik Israel dan Palestin secara diplomasi dengan  konsep keamanan kekal.


Kenyataan Oleh:

Mohd Shamsuddin Damin
Setiausaha  (Tel: 016-375 6618)
Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM)

No comments:

Post a Comment