PENGERTIAN
KALIMAH ALLAH
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Katakanlah (wahai Muhammad):
"(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
"Allah Yang menjadi tumpuan
sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
"Ia tiada beranak, dan Ia pula
tidak diperanakkan;
"Dan tidak ada sesiapapun yang
serupa denganNya".
Allah tiada Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya
mentadbirkan sekalian makhlukNya.
Sehubungan dengan itu penggunaan
Kalimah Allah ini mestilah berdasarkan pengertian dalam Islam yang terkandung
di dalam Al-Quran.
DAKWAH KEPADA ORANG BUKAN ISLAM AHLI
KITAB
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami
dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak
sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil
akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan
didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu)
berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah
kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam".
Dan janganlah kamu berbahas dengan
Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang
berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): "Kami
beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan
Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah
Satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri."
Dan (sebagaimana Kami telah
menurunkan Kitab-kitab agama kepada Rasul-rasul yang telah lalu) demikianlah
Kami turunkan pula kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Al-Quran ini. Maka
orang-orang yang Kami berikan Kitab (Taurat dan Injil) ada yang beriman kepada
Al-Quran, dan juga sebahagian dari orang-orang (Makkah) beriman kepadanya; dan
tiadalah yang mengingkari ayat-ayat keterangan Kami melainkan orang-orang yang
berdegil dalam kekufurannya.
Tiga
firman Allah di atas jelas menyuruh kita menyeru para Ahli Kitab ataupun orang
belum Islam untuk mereka masuk Islam dan beriman dengan Allah.
Selagi
mereka tidak beriman dengan Allah dan menjadi Islam maka mereka akan sentiasa
dalam kekufuran.
Sehubungan
dengan itu kita tidak mahu mereka menggunakan kalimah Allah dengan
memaksudkannya seperti dalam ajaran Kristian ataupun agama-agama lain masa
kini.
Susunan
Mohd Shamsuddin Damin
Setiausaha
Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia
Sila rujuk kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam
Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa
Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang
bersidang pada 5 - 7 Mei 2008 telah membincangkan Isu Tuntutan Penganut
Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah. Muzakarah telah memutuskan
bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan
umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan
agama-agama bukan Islam lain. Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya
dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan
atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat
mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam
Perlembagaan Persekutuan.
Keterangan/Hujah:
-
Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada
Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh
orang-orang kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu
oknum daripada akidah trinity. Ia berbeza sama sekali dengan
apa yang dimaksudkan oleh Reverand Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of
Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh
orang-orang kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain
daripada itu, lafaz Allah juga, tidak pernah disebut di dalam teks
bahasa Greek yang merupakan bahasa asal usul penulisan Bible. Ini adalah
kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.
-
Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal
Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang
dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam
bahasa Hebrew manakal Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek.
Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh,Elohim dan juga Yhwh.
-
Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk
agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan
oleh agama lain seperti Kristian.
-
Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk
mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah
dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan
Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh
memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang
Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan
oleh pihak berkuasa agama di negara ini.
-
Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum
kedatangan Islam lagi, namun penggunaanya adalah berbeza dan perlu
dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.
-
Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait
dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini.
Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut
semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya
akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.
-
Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama
kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara
yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat
merbahaya kerana matlamat utama kristian menggunakan kalimah Allah
adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahwa semua agama
adalah sama.
-
Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan
ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa
Melayu, perkataan God ditejemahkan sebagai Allah.
-
Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah
dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu
dikeluarkan oleh Jawatankuasa ini bagi menjaga kesucian agama dan akidah
umat Islam.
-
Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh
agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi
factor utama adalah berasaskan akidah dan kesucian agama Islam.
-
Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai
gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara,
umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah
agama.
No comments:
Post a Comment