Sunday, July 13, 2014

IKIAM Cadang OIC Tubuh Pasukan Tentera Islam



Gaza: OIC Dicadang Tubuh Pasukan Tentera Islam

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dicadang menubuhkan sebuah pasukan tentera Islam dengan keanggotaan pelbagai negara Islam seluruh dunia, berikutan serangan kejam berterusan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), yang mencadangkan perkara berkenaan, menarik perhatian bahawa pasukan itu seterusnya boleh digerakkan secepat mungkin ke Gaza bagi menangkis dan menghentikan serangan tentera Israel.

Setiausahanya, Mohd Shamsuddin Damin berkata, selain usaha diplomasi dan rundingan yang dijalankan, penubuhan tentera berkenaan secara tidak langsung dapat menyedarkan pengganas Israel bahawa umat Islam bersedia mempertahankan Gaza dan Palestin daripada dimusnahkan.

"Pada hemat kami juga, jihad bertahan ini wajar kerana tentera pengganas Israel mahu memusnahkan Gaza dan tanah suci umat Islam.

"Semua kriteria menggerakkan jihad bertahan seperti dijelaskan dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW telah dilanggar tentera pengganas Israel," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Israel telah melancarkan serangan ke atas Gaza dalam operasi yang digelar 'Operasi Perlindungan Sempadan' sejak Selasa lepas.

Sehingga kini, media melaporkan sekurang-kurangnya 121 rakyat Palestin terkorban manakala ratusan lagi cedera, selain masjid, sekolah dan ratusan rumah musnah akibat serangan bertubi-tubi roket tentera rejim Israel terhadap Gaza.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment